Home > Sport (Malay) > Sukan SEA : Kuartet emas tidak naik podium

Sukan SEA : Kuartet emas tidak naik podium

(dari kiri) Muhammad Yunus Lasaleh, S. Kannathasan, Sehzuan Ahmad Rosely dan P. Yuvaraaj mengharumkan negara apabila menang pingat emas 4x400 meter, malangnya tidak berpeluang menaiki podium.

PALEMBANG – Selepas bergembira meraikan kemenangan paling tidak diduga kelmarin, kuartet 4×400 meter lelaki negara terpaksa meninggalkan Sukan SEA XXVI tanpa menaiki podium untuk menerima pingat emas.

Muhammad Yunus Lasaleh, Sehzuan Ahmad Rosely, P. Yuvaraaj dan S. Kannathasan terpaksa pulang ke tanah air tengah hari semalam ekoran tiket penerbangan yang sudah ditempah tidak boleh dipinda disebabkan tempahan penuh.

Upacara penyerahan pingat hanya dilakukan pada lewat petang.

Kisah itu adalah sebahagian daripada rentetan kuartet tersebut yang diselubungi pelbagai kontroversi dan drama sebelum dapat menjejakkan kaki ke bumi Palembang.

Barangkali, pelbagai ujian dan pahit getir yang terpaksa diharungi Yunus, Sehzuan, P. Yuvaraaj dan Kannathasan boleh difilemkan suatu hari nanti.

Kuartet 4x400m bimbingan jurulatih, P. Jayabalan pada awalnya sudah disenarai dalam skuad untuk beraksi bagi kategori B, namun pada saat akhir sebelum ke Palembang mereka terkeluar daripada senarai tersebut.

Menurut Jayabalan, alasan yang diberikan oleh Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) ialah terlalu ramai atlet yang akan beraksi dalam kategori B, iaitu mereka yang beraksi atas biayaan kesatuan. Mereka tidak yakin bahawa kuartet ini mampu menghasilkan pingat.

“Bagaimanapun pada 9 November KOM membuat keputusan bahawa kuartet tersebut harus menjalani satu ujian terakhir dan mereka berjaya mencatat masa yang memuaskan hati Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan, Datuk Karim Ibrahim.

“Pada 12 November barulah anak buah saya berjaya menjejakkan kaki ke Palembang dan sukar untuk mendapatkan tiket kapal terbang seawal mungkin. Saya pula tidak dapat pergi bersama mereka kerana kategori B untuk jurulatih perlu melalui pembiayaan sendiri,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Kuartet 4x400m lelaki berjaya mengetepikan pencabar dari Filipina (3:11.16 saat) yang meraih pingat perak, manakala gangsa milik Thailand (3:14.90s).

Bagaimanapun catatan mereka tidak berjaya memecahkan rekod kebangsaan dalam acara tersebut iaitu 3:06.46s.

Sebaik tiba di Palembang pada 12 November pukul 7 malam, kuartet 4×400 hanya mempunyai masa kurang 48 jam untuk membuat persediaan di Stadium Olahraga Jakabaring dan kelmarin mereka membuktikan bahawa tidak ada yang mustahil untuk meraih emas.

Semalam pada pukul 2 petang keempat-empat pelari negara itu berlepas pulang ke Malaysia dan hanya berehat 15 jam selepas berhempas-pulas untuk memenangi emas, mengulangi kejayaan 2007 di Sukan SEA Korat.

Sumber: Utusan

Advertisements
  1. No comments yet.
  1. No trackbacks yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: